AYER KEROH - Sebanyak 402 pendaratan penyu dilaporkan di Melaka  sepanjang tahun lalu, meningkat daripada 380 direkodkan pada tahun  sebelumnya.  
Daripada jumlah itu, kira-kira 48.82 peratus daripada 48,503 telur, iaitu 23,677 berjaya ditetaskan.  
Selain itu, sebanyak enam pendaratan tuntung turut direkodkan  Pusat Pengurusan Penyu Melaka sepanjang tahun lalu, di mana 48 daripada  78 telur berjaya ditetaskan.  
Sepanjang tahun lalu juga, seramai 28,059 pelawat telah melawat Pusat Pengurusan Penyu Melaka di Padang Kemunting, Masjid Tanah.  
Daripada jumlah itu, majoritinya iaitu 21,574, merupakan pelawat awam manakala 13,981 adalah pelajar sekolah.  
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pertanian dan   
Pembangunan Luar Bandar, Datuk Md Yunos Husin berkata, Melaka  merupakan destinasi utama pendaratan Penyu Karah atau Hawksbill Turtle  di Malaysia selain antara yang terpenting di Asia Tenggara.  
Menurutnya, secara purata, pendaratan spesis penyu ini di pantai  Melaka  menghasilkan sebanyak 30,000 biji telur dan 140 sarang setiap  tahun.  
“Menyedari pentingnya perlindungan penyu ini, Kerajaan Negeri  telah menubuhkan Pusat Pengurusan Penyu Melaka bagi melindungi,  memelihara serta mengurus penyu, selain memberi kesedaran orang ramai  mengenai usaha melindungi penyu daripada pupus.  
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga sudah meluluskan Peraturan  Kaedah-kaedah Perikanan (Penyu dan Telur-telur Penyu) untuk mengawal  aktiviti berkaitan penyu di negeri ini,” katanya kepada media selepas  merasmikan Karnival Industri Asas Tani di Kota Fesyen, dekat sini  semalam.  
Menurut Md Yunos, kempen yang diadakan ini bertujuan memberi kesedaran  kepada masyarakat mengenai kepentingan melindungi spesis-spesis terancam.