PENGUASA PENGKHIANAT MEMBENARKAN PENCABULAN AMERIKA KE ATAS KEDAULATAN PAKISTAN, MALAH BERGEMBIRA DENGANNYA!
Seluruh dunia kini heboh membicarakan berita kematian Osama Bin Laden, pemimpin Al-Qaeda yang dikatakan paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS). Pada 2hb lepas, Presiden AS, Barack Obama mengumumkan bahawa Osama telah terbunuh dalam sebuah operasi militer yang dijalankan berhampiran Islamabad, Pakistan. Obama juga mengumumkan bahawa mayatnya telah dikebumikan di laut menurut cara Islam bagi mengelakkan kuburnya dijadikan tempat pemujaan. Pengumuman kematian Osama ini telah mendapat pelbagai reaksi dari seluruh dunia, baik dunia Islam mahupun bukan dan telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan teori, khususnya gambar yang disiarkan yang dikatakan sebagai sebuah pembohongan.
Terbaru, Obama mengumumkan bahawa White House tidak akan menyiarkan gambar pengebumian Osama kerana khuatir dijadikan alat propaganda oleh Al-Qaeda. Banyak pihak menyifatkan bahawa Obama telah melakukan penipuan kepada dunia dan beranggapan bahawa Osama masih hidup. Tidak kurang yang menyatakan bahawa Osama sebenarnya telah mati beberapa tahun yang lalu, cuma ‘wataknya’ dihidupkan oleh Amerika untuk menjustifikasi agenda perangnya ke atas pengganas, yang merupakan perang ke atas Islam.
Di Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang kelihatan gembira dengan berita ini berkata, dunia akan lebih selamat dan aman berikutan kematian pemimpin pengganas Al-Qaeda itu. Perdana Menteri 1Malaysia itu berkata kematian Osama adalah juga satu pengajaran bahawa keganasan tidak membuahkan sesuatu kebaikan sebaliknya membawa kemudaratan kepada semua pihak.“Saya berharap bahawa pada masa akan datang, dunia akan lebih sedar bahawa keganasan bukanlah satu pendekatan yang patut dilakukan untuk mencapai apa juga tujuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi 1Malaysia di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur.Najib berkata Osama telah menggunakan Islam dalam perjuangannya dan telah memberi imej yang cukup negatif dan buruk terhadap Islam. [BH 03/05/11].Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pulaberkata, “Jika benar perkara itu berlaku, saya harap ia akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama,” katanya [UM 03/05/11].Sama ada benar atau tidak bahawa Osama telah terbunuh, Allah SWT Maha Tahu akan hal ini. Namun yang kita tahu dengan pasti adalah Amerika telah menceroboh masuk dan melakukan keganasan di Pakistan sesuka hati mereka! Kita juga sudah muak dan kesal dengan sikap para pemimpin Islam yang menyokong Obama di dalam kes ini yang tidak habis-habis cuba mengaitkan Islam dan gerakan Islam dengan keganasan. Mereka cukup takut untuk menyatakan bahawa pengganas yang sebenar adalah Amerika itu sendiri!!!
Sebaik sahaja menerima kecaman dan protes dari umat Islam kerana membenarkan operasi militer AS di bumi Pakistan, pemimpin Pakistan dengan tegas dan berulang kali menafikan bahawa mereka tahu-menahu atau terlibat di dalam operasi ini. “Pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden oleh pasukan tentera AS bukanlah satu operasi bersama dengan Pakistan”, kata Presiden Asif Ali Zardari menerusi satu ruangan pendapat yang disiarkan di Washington Post. Zardari berkata, lokasi Osama dibunuh di bandar Abbottabat, utara Islamabad juga tidak diketahui pihak berkuasa Pakistan [UM 04/05/11]. Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan dalam satu kenyataan media cuba menuduh yang AS kononnya menceroboh negaranya ketika melancarkan serbuan. Kementerian berkata, laporan mengenai helikopter AS berlepas dari Pangkalan Udara Ghazi adalah tidak benar. “Helikopter AS memasuki ruang udara negara ini melalui kawasan berbukit yang tidak boleh dikesan oleh radar.Helikopter AS itu turut dilengkapi teknologi terbaru serta terbang menggunakan teknik nap of the earth supaya ia tidak boleh dikesan,” kata Kementerian itu, semalam.Menurut kenyataan itu, perkara ini turut disahkan oleh Penasihat White House, John Breman yang menyatakan bahawa AS tidak memaklumkan kepada Pakistan mengenai operasi itu sehinggalah semua pesawat dan anggota tentera AS terbabit keluar dari ruang udara negara ini[UM 04/05/11].
Benarkah hal ini? Apakah Pakistan tidak terlibat di dalam operasi ini? Sautun Nahdhah kali ini mengemukakan sedikit analisis mengenai keterlibatan Pakistan dalam operasi ini untuk tatapan bersama. Kami juga memasukkan terjemahan surat yang dikeluarkan oleh Pengarah, Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, Saudara Osman Bakhash, sebagai seruan untuk mereka yang ikhlas.
Berdasarkan fakta yang terjadi, terdapat beberapa petunjuk yang kuat yang menunjukkan bahawa operasi ini dijalankan dengan pengetahuan rejim Pakistan dan bantuan yang diperoleh adalah dalam bentuk pemberian maklumat-maklumat perisikan yang diperlukan oleh Amerika untuk melaksanakan operasi tersebut. Antara petunjuk-petunjuk itu adalah:-
(1) Satu mesyuarat tergempar telah diadakan antara Jeneral Petraeus, Komandan ISAF bersama Jeneral Kayani (Pakistan) di Pengkalan Udara Chaklala pada 25 April 2011. Pada malam yang sama Jeneral Petraeus telah mengadakan mesyuarat tertutup menerusi telefon dengan White House yang diketuai oleh Presiden Barack Obama. Pada hari berikutnya Badan Penyelaras Tertinggi Tentera Pakistan telah mengadakan pertemuan yang dihadiri oleh Ketua Perisikan Pakistan, Jeneral Shuja Pasha yang bukan merupakan anggota dalam Staff Gabungan Ketenteraan (Joint Chief of Staff). Pertemuan ini tidak pernah dilapor sebelum ini.Barack Obama telah memberi isyarat (hint) mengenai komunikasi telefon tersebut ketika mengumumkan kematian Osama bin Laden dengan mengatakan: “Akhirnya, pada minggu lepas, selepas kami menerima maklumat yang cukup, kami memutuskan untuk mengambil tindakan sewajarnya dan membenarkan proses penangkapan Osama bin Laden untuk dibawa ke muka pengadilan” (Sumber: http://www.dawn.com/2011/05/03/pak-military-caught-in-the-crossfire.html).
(2) Demikian juga, Obama telah mengumumkan bahawa Osama bin Laden berada di bandar Bilal yang terletak di kawasan tentera dan bersebelahan dengan Akademi Tentera Pakistan yang dikelilingi oleh pusat kawalan tentera.
(3) Kenyataan Zardari yang dikeluarkannya dalam isu yang sama menafikan penglibatannya dalam operasi tersebut tetapi beliau telah mengakui bahawa bantuan yang diberikan itulah yang telah memudahkan operasi pembunuhan tersebut. Zardari mengatakan dalam akhbar Washington Post: “Meskipun apa yang berlaku pada hari Ahad itu bukanlah operasi bersama tetapi merupakan hasil kerjasama satu dekad antara AS dan Pakistan dalam memastikan penghapusan Osama bin Laden, yang merupakan ancaman berterusan kepada dunia hari ini”.
(4) Kenyataan Obama juga menyingkap perkara yang sama di mana dia tidak menyebut penglibatan Pakistan dalam pembunuhan ini tetapi Obama mengakui bahawa kerjasama dengan Pakistanlah yang membantu mereka mengetahui tempat Bin Laden. Obama mengatakan: “Adalah penting untuk kita catatkan bahawa kerjasama kita dengan Pakistan di dalam memerangi keganasan telah membantu kita untuk menjejaki tempat persembunyian Bin Laden”.
(5) Peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum ini berkaitan penangkapan beberapa orang anggota Al-Qaeda seperti Abu Farh al-Libyi, Khalid Syeikh Muhammad dan Ahmad Khalfan Jilani; mereka telah telah ditangkap di kawasan yang sama iaitu di kawasan berdekatan penempatan ketenteraan atau dalam lingkungan selamat, dan mereka ini semuanya telah pun diserahkan kepada Amerika.
Oleh kerana itu, rejim Pakistan sebenarnya telah berdusta dalam isu jenayah pembunuhan Bin Laden. Namun, waktu tepat yang ditetapkan oleh Amerika untuk melakukan pembunuhan itu bukanlah penting dilakukan dengan sepengetahuan rejim Pakistan. Peranan rejim Pakistan sebenarnya adalah sebagai mata-mata yang memberikan maklumat yang diperlukan untuk membunuh mangsa dan menyerahkannya kepada tuannya agar dapat ditentukan detik (pembunuhannya), tidak penting sama ada perkara tersebut diketahui oleh mata-mata itu atau tidak. Sebenarnya hal ini lebih memudahkan!
Akhir sekali, kami (Hizbut Tahrir) ingin menarik perhatian rakyat Pakistan secara umumnya dan tentera Pakistan secara khususnya bahawa kekalnya rejim ini merupakan punca penyakit dan bala kepada Pakistan. Mereka (rejim ini) tidak akan sekali-kali berhenti dalam subahat ini selepas pembunuhan Bin Laden rahimahullah dan semoga ruhnya bersemadi dengan aman (jika benar ia terbunuh). Bahkan rejim ini akan berterusan menumpahkan darah umat Islam. Sesungguhnya adalah menjadi kewajipan syarak untuk mencabut rejim ini dan menggantikannya dengan Khilafah Rasyidah yang akan memuliakan Islam dan kaum Muslimin dan menghinakan kekufuran dan orang-orang kafir. Firman Allah SWT:
“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” [TMQ Yusuf (12):21].
No comments:
Post a Comment